nuffnang

nuffnang LR

Tuesday, February 26, 2013

Nak Lembu Gemuk Atau Kambing Kurus?


Amin (bukan nama sebenar) memang malas jika ayahnya mengajak ke masjid. Jadi, Amin sering memikirkan alasan untuk tidak mengikuti ayahnya ke masjid, atau biarkan ayahnya jugak tidak pergi ke masjid. Antara ingatan yang lucu dalam hal ini adalah apabila Amin mengeluarkan alasan yang ketika itu dia fikirkan agak logik dan tepat.

“Abah, kenapa susah-susah hendak ke masjid? Baik kita solat Jemaah di rumah sahaja. Pahalanya 27 kali ganda juga. Sama saja, solat Jemaah di masjid pun 27 kali ganda juga.”

Masa itu, memang Amin fikir dia bijak sebab dapat bagi idea yang disangkakan bernas. Waktu itu Amin masih budak lagi. Ayah amin terdiam. membuatkan Amin sudah rasa dia yang menang.

Kemudian ayah Amin berkata, “27 ekor lembu gemuk, dengan 27 ekor kambing kurus, mana yang lebih baik?”

Amin terdiam. Tanpa penerangan panjang, ayah Amin terus ke masjid. Pastinya ketika itu Amin harus ikut sama. Budak kecil, kalau melawan padah jawabnya. Apabila sudah besar, memang banyak makna kata-kata itu.

Apabila kita solat fardhu berjemaah di rumah, satu suasana untuk menambah amal itu tidak mudah untuk wujud. Apabila habis solat, doa-doa sedikit, kemudian habis. Biasanya, manusia apabila solat di rumah, sukar untuk die melaksanakan solat rawatib, memanjangkan istighfar, membaca sedikit dari Al-Quran dan sebagainya selepas solat.

Jarang wujud di rumah itu, satu suasana kondusif yang menenangkan jiwa seperti di masjid. Pendek kata, rumah tetap rumah.





Berbeza dengan solat berjemaah di masjid. Apabila kita melangkah sahaja untuk ke masjid, kita sudah mendapat pahala. Setiap langkahan kita akan dikira oleh Allah SWT. Biasanya, masjid mestilah lebih jauh dari bilik tidur kita. Jadi, biasanya, pahala langkahan ke tempat solat apabila kita ke masjid adalah lebih banyak. 

Rasulullah bersabda:

Sesiapa yang pergi ke masjid pagi dan petang, maka Allah akan menyediakan untuknya hidangan di syurga setiap kali dia pergi pagi dan petang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Masjid pula menyediakan satu suasana yang menyenangkan. Suasana masjid yang biasanya bersih dan indah, bersama orang-orang di dalamnya yang berpakaian bersih. Ada pula mereka yang banyak beramal, membuatkan hati kita lebih lembut untuk turut serta menambah amal. Kadang-kadang apabila tamat sahaja azan berkumandang, sama ada kita perasan atau tidak, secara automatik, kita akan solat sunat tanpa diajak atau disuruh.

Apabila masih ada sedikit masa selepas solat sunat, kita tidak pula isi dengan bersembang-sembang, sebaliknya kita bermuhasabah, berzikir atau membaca Al-Quran. Gerakan tanpa paksaan ini biasanya hanya wujud di masjid. Semuanya kerana masjid menyediakan satu bi’ah (persekitaran) yang istimewa, membangkitkan kecintaan untuk beramal di dalam jiwa.

Itu baru hal sebelum solat. Kita sudah mendapat banyak kebaikan jika kita solat berjemaah di masjid. Apabila solat berjemaah, dapat pula mendengar bacaan imam yang pastinya bukan hanya surah al-Kautsar atau surah al-Ikhlaas yang biasa kita baca apabila solat di rumah. Secara tidak langsung, kita mendapat kebaikan daripada mendengar bacaan imam.

Biasanya kalau kita solat di masjid, kita tidak akan terus bangun begitu sahaja. Semalas mana pun, kita akan beristighfar sebentar sebelum meninggalkan masjid. Lazimnya manusia akan tetap duduk, menunggu wirid selspat solat habis. Kemudian, tubuh akan bergerak sendiri, bangun untuk solat sunat selepas solat fardhu.

Itu semua dalam satu waktu solat fardhu. Bayangkan jika kita bergerak untuk solat berjemaah di masjid lima kali sehari? Masya-Allah! Dalam sehari banyak kebaikan yang kita Berjaya raih. Cuma kita tidak lihat dengan mendalam sahaja akan hal ini. Memang benar-benar 27 lembu gemuk, berbanding solat berjemaah di rumah yang pahalanya ibarat 27 kambing kurus.

Jujurnya, saya agak segan hendak sebut tentang solat berjemaah di masjid ini, sebab saya juga bukanlah seorang yang istiqamah dalam hal ini. Tetapi harapnya, dengan berkongsian  ini, kita sama-sama dapat bermuhasabah diri. Moga Allah berkati diri kita, dan memperkuatkan kita untuk berusaha beribadah secara berjemaah di ‘rumah’-Nya.

Mari, ubah persepsi diri. Sungguh! Segala arahan Ilahi itu ada hikmahnya yang tersembunyi lagi tersendiri.

Creditss to my friend who shared this story
(HOME)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pages