Kita boleh simpulkan keperluan merancang untuk empat peringkat kehidupan.
Cuba banding-bandingkan adakah kita mengalami keperluan yang sama dalam fasa kehidupan kita?
FASA 1 - awal 20-an sehingga awal 30-an
Fasa ini dikenali dengan tahun permulaan. Inilah titik permulaan bagi ramai di antara kita yang mulai masuk ke dunia pekerjaan. Tidak kurang juga yang mungkin akan memasuki alam perkahwinan. Jika difikirkan banyak juga keperluan kewangan kita di tahap ini, antara lain:
* Pembelian kereta
* Pembelian rumah
* Memilih corak pemakaian untuk pekerjaan
* Membayar hutang pendidikan
* Memberi wang ihsan pada ibu bapa
* Menyumbang kepada ahli keluarga yang memerlukan
Hati-hati supaya tidak terjebak dengan hutang kad kredit sewaktu awal pekerjaan. Dari segi pelaburan pula, masa inilah kita harus bersedia menerima risiko dan mencuba pelaburan dalam amanah saham yang berbentuk ekuiti. Pembelian polisi takaful tabungan juga digalakkan untuk menyediakan ‘payung sebelum hujan’.
FASA 2 - awal 30-an hingga awal 40-an
Waktu ini, insya-Allah pendapatan kita sudah mulai meningkat. Jika kenaikan gaji purata 5% setahun dan kita mulai bekerja sejak awal 20-an, besar kemungkinan gaji kita sudah naik sekurang-kurangnya 50%.
Dari segi keperluan kewangan pula, antara lain ianya mungkin meliputi:-
* Penyusunan semula hutang
* Pembelian kereta yang lebih mewah
* Pengubahsuaian rumah atau pembelian rumah baru
* Peruntukan untuk melancong/mengerjakan haji/umrah
Dari segi pelaburan, mereka yang di peringkat ini masih boleh menerima risiko tetapi tidak seperti pada fasa pertama tadi. Jika pemilihan saham amanah, mungkin yang berbentuk ‘balanced’ atau potfolio yang mengandungi 50% bon dan 50% saham. Bagus juga kita mulai membeli tanah atau hartanah yang lain untuk pendapatan tambahan.
Pembelian polisi takaful pula mungkin pada fasa ini terfikir tentang kesihatan. Jadi ramai mula mengambil polisi ‘critical illness’ atau mulai menabung untuk pendidikan anak-anak.
FASA 3 - awal 40-an hingga awal 50-an
Kita sudah pun masuk waktu senja/asar! Ya, puan-puan pembaca yang dirahmati Allah. Jadi bersikap berhati-hatilah. Jika sewaktu muda itu belanja agak keras – pantang ada ‘sale’ mesti kita ada, waktu ini banyakkan hadir diri ke majlis ilmu atau membuat kerja amal.
Keperluan kewangan pula berbeza sedikit:-
* Penjelasan hutang - wang KWSP akaun 2 boleh dikeluarkan sewaktu umur 50.
* Penabungan untuk pencen kelak
* Pembelian aset baru mungkin berkurangan sebab takut mengalami beban hutang yang berlebihan.
* Perbelanjaan untuk kesihatan diri
Pelaburan pula mungkin berkurangan tetapi lebih banyak pemantauan yang harus dibuat ke atas pelaburan yang dahulu. Kita pula sudah lebih mengetahui tentang risiko dan pulangan melalui pengalaman. Pembelian polisi takaful yang baru juga berkurangan tetapi terfikir untuk menjadi wakil takaful untuk mendapat pendapatan yang lebih. Kita juga mulai berjinak dengan dunia perniagaan untuk menyiapkan diri menempuh tempoh persaraan nanti.
FASA 4 - awal 50-an akhir usia
Alhamdulillah, Allah telah memanjangkan umur kita dan memberi kesihatan, satu nikmat yang tidak ternilai harganya. Ramai di antara kita sudah memulai perancangan pencen kelak (walaupun waktu ini sudah lewat untuk merancang).
Antara lain, keperluan kewangan adalah:
* Kesihatan
* Penjelasan hutang yang berkos tinggi - jangan mati meninggalkan hutang; bukan harta.
* Memulakan hobi baru seperti memancing, bersukan/bersenam, menjahit dan lain-lain.
* Memasuki kelab-kelab
Alam pelaburan baru mungkin hanya yang tidak berisiko tinggi seperti, Bon Merdeka untuk warga emas. Eloklah ambil peluang ini untuk memberi sedekah secara berterusan kepada yayasan-yayasan tertentu. Semoga Allah memberkati setiap FASA kehidupan kita yang serba singkat ini.
PS: Tak semua keperluan seseorang itu sama.. berbeza bagi yang pernah bekerja luar negara, yang bekerja dengan profession yang berbeza. yang penting bersyukur dengan apa yang ada rite?
Source: ANIS (Hajah Rohani Datuk Hj. Mohd Shahir - Hijrah Strategic Advisory Group)
No comments:
Post a Comment