MARI MUHASABAH DIRI: Sikap cepat menyalahkan orang lain tanpa usul periksa merupakan satu budaya yang keji. Umat Islam perlu berani menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku pada hari ini. As-Syeikh Hasan An-Nadwi dalam buku Maza Khasiral Aalamu Binhithaatil Muslimiin merumuskan beberapa punca kejatuhan umat Islam hari ini.
1. Pertama, kepimpinan berpindah kepada orang yang tidak berkelayakan. Ketika pemimpin-pemimpin umat Islam meminggirkan ajaran Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi dan kelompok, kekuatan Islam mula goyah. Hal ini mula menonjol di era Bani Umayyah dan Abasiah kecuali di zaman Omar bin Abdul Aziz.
2. Kedua, politik dipisahkan dari agama. Di zaman nabi dan Khulafa Ar-Rasyidin, politik dan agama disatukan kerana Islam adalah satu cara hidup yang lengkap yang merangkumi semua perkara termasuk politik. Apabila agama tidak lagi menyuluhi politik lahirlah penyelewengan, kezaliman dan ketidakadilan di peringkat yang tertinggi. Ketika itu ketidakstabilan mula melanda umat Islam.
3. Ketiga, pemimpin dan para penguasa Muslim menunjukkan contoh yang buruk. Mereka tenggelam dalam kemewahan dan kemaksiatan dan mengabaikan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar. Perangai dan cara hidup pemimpin yang tidak bermaruah ini memberi kesan yang negatif kepada masyarakat secara amnya.
4. Keempat, para ilmuwan Islam gagal memperkembangkan ilmu. Ramai dari kalangan ilmuwan Islam bermula dari abad ke-17 Masihi ghairah membahaskan ilmu falsafah yang diasaskan oleh bangsa Yunani. Mereka juga asyik berbicara tentang roh, wihdatul wujud dan ilmu-ilmu ranting Islam. Ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan sains dan teknologi langsung tidak difokuskan sedangkan di Barat ketika itu ledakan ilmu sains dan teknologi berlaku dengan pesatnya. Akhirnya Barat mengusai dunia Islam yang sedang leka.
5. Kelima, timbulnya bidaah dan kesesatan dalam dunia Islam. Kesucian akidah dan keluhuran ibadah serta syariat yang ditegakkan oleh nabi di kemudian harinya dicemari oleh pandangan-pandangan serta amalan bidaah yang menyesatkan. Tokok tambah dalam agama tanpa berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah menjadi popular sehingga akhirnya ia berjaya pudarkan cahaya Islam yang asli lagi murni.
Kehinaan dan kerosakan ke atas umat Islam masih terus berlaku. Dengan keinsafan dan kesungguhan kerosakan ini boleh diperelok dan diperbaiki. Walau bagaimanapun, kita harus akui, kerjanya tidaklah mudah. Namun andai kata kita sanggup memulakan proses perubahan ini Allah pasti akan mempermudah kerja-kerja kita. Dalam surah Yusuf ayat 90, Allah berfirman, “Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan.”
Source: ('7 FORMULA INDIVIDU CEMERLANG' - DR DANIAL)
No comments:
Post a Comment